TERIMA KASIH KERANA MELAYARI BLOG AWANG GONENG. BLOG INI MENGANDUNGI PAPARAN AKTIVITI SAYA SEBAGAI PENJAWAT AWAM SEMASA BERTUGAS DI PELBAGAI NEGERI DI SEMENANJUNG MALAYSIA. MUNGKIN ADA KISAH-KISAH YANG SAYA PAPARKAN DI SINI BERGUNA UNTUK RUJUKAN TUAN PUAN. SELAMAT MEMBACA, MENONTON GAMBAR DAN KLIP VIDEO YANG ADA DAN TINGGALKAN KOMEN DIRUANGAN YANG DISEDIAKAN. TERIMA KASIH.
Showing posts with label puasa. Show all posts
Showing posts with label puasa. Show all posts

Wednesday, August 11, 2010

Orang Puasa Kita Puasa...


Hari ini kita umat Islam mula berpuasa, menunaikan rukun Islam ke empat. Kita patut bersyukur kita sekali lagi diberi peluang oleh Allah untuk mendapat banyak ganjaran pahala yang besar di bulan yang mulia ini. Ada sahabat kita yang sama-sama berpuasa dengan kita tahun lepas, kini tiada lagi bersama kita kerana telah dijemput mengadap Ilahi. Kita masih beruntung diberi peluang sekali lagi tahu ini. Tetapi soalnya? bagaimanakah puasa kita saban tahun? Adakah masih sama atau sentiasa ada penambahbaikan dari tahun ke tahun. Kalau puasa kita berjaya mendidik kita untuk sentiasa melakukan perubahan ke arah kebaikan, baguslah. Tapi yang kita bimbang, puasa tak puasa, perangai kita tetap sama. Tak berubah.



Mari kita renungkan berapa lama dah kita berpuasa? 10 tahun? 15 tahun? 20 tahun? atau 30 tahun? Tidak kisahlah berapa lama pun. Yang penting kita mendapat manfaat daripada puasa tu. Ada kalangan kita mengamalkan gaya puasa yang sama setiap tahun. Sekadar berlapar dan dahaga. Buka puasa dengan juadah yang enak-enak dan berlebihan-lebihan.

Apa ertinya puasa kita ini? Apalah ertinya puasa kita jika waktu berbuka kita melantak makanan yang enak-enak dan berbuka pula di hotel-hotel mewah. Makan terlalu kenyang hingga meninggalkan solat wajib dan sunat. Kita berpuasa untuk merasai penderitaan orang-orang susah dan miskin. Jadi berbukalah dengan apa yang ada. Tak usahlah nak kelam kabut memikirkan apa nak berbuka hari ini. Berbukalah secara sederhana dan ala kadar.

Yang penting kita berpuasa segala-galanya menjaga tutur kata dan semua pancaindera kita berpuasa. Banyakkanlah bersedekah dan melakukan amal ibadat di bulan yang mulia ini. Dan yang paling penting kita kena pastikan puasa kita kali ini mesti lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Barulah ada peningkatan atau kata orang roh puasa itu sudah meresap dalam diri kita. Jangan orang puasa kita puasa, orang dapat pahala kita dapat lapar dan dahaga saja. SELAMAT BERPUASA!


Thursday, September 13, 2007

Kisah Lucu di Bulan Puasa (1)

SAYA suka mengimbau kisah-kisah lama. Bukan apa, kalau tak ada yang lama, mana mungkin ada yang baru. Yang baru dan yang lama, saling bertukar ganti. Itulah hukum alam. Ada kisah-kisah lama yang melucukan.

Kisah ini berlaku di bulan puasa di Kuala Terengganu, tempat saya lahir dan dibesarkan kira-kira 30 tahun dulu. Lama dah. Dulu di Terengganu, waktu berbuka diumumkan dengan tembakan meriam di Bukit Besar. Duuuuummmm, gema tembakan meriam boleh didengar di kawasan sekitar bandar Kuala Terengganu, menandakan tibanya waktu berbuka. Jadi, bunyi tembakan meriam dan waktu berbuka sudah sinonim dengan masyarakat Terengganu ketika itu.

Satu hari di bulan puasa. Satu keluarga, Pak Man dan isterinya, sedang bersiap sedia di depan hidangan untuk berbuka. Ketika itu cuaca mendung--orang Terengganu cakap, Jo own-- dan hari kelihatan gelap walaupun ia sebenarnya masih awal, kira-kira pukul 6 petang.

Pak Man mengira waktu dah hampir berbuka. Maka diperkemaskan silanya. Standby. Nak dijadikan cerita, ketika tu terdengar satu bunyi dentuman yang kuat. Duuummm. Pak Man pun apa lagi. Suaplah. Sedang asyik Pak Man menjamu selera, datang jirannya.

"Eh, Pak Man, awal buka puasa hari ni, " kata jirannya yang hairan dengan tindakan Pak Man.

"Kan dah buka, kau tak dengar ke bunyi meriam berbuka tadi," kata Pak Man selamba.

"Muhahahahaha," gelak jirannya. Tadi tu bukan bunyi meriam, tapi bunyi tayar lori meletup. Hehehehe, ketawa kawannya makin kuat!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails