SELAMAT DATANG KE BLOG SUARA PERINDU; IKUTI TOKOH ISLAM MINGGU INI MENGENAI KISAH BEBERAPA SAHABAT NABI S.A.W YANG MENARIK KISAHNYA UNTUK DITELADANI, DIPAPARKAN DALAM BENTUK DOKUMENTARI RADIO YANG MENARIK. SETIAP SABTU 6.15 PTG DAN ULANGANNYA PADA AHAD 2.15 PTG DI TERENGGANUFM; PENULIS SKRIP DOKUMENTARI AGAMA DIPERLUKAN. HANTAR SEGERA PERMOHONAN KPD PENGARAH RTM TERENGGANU; IKUTI PERKEMBANGAN SUKAN TEMPATAN DAN TANAH AIR DALAM "WISEL" SETIAP SELASA PUKUL 9.15 BERSAMA DJ AZRUL DAN RIZAL, MENGUPAS PERKEMBANGAN BOLASEPAK, HOKI, LUMBA BASIKAL DAN BANYAK LAGI

Thursday, February 22, 2007

KEWARTAWANAN MEDIA SIARAN

PENULISAN MEDIA PENYIARAN

1. MENULIS UNTUK PENDENGAR

Sekali imbas mungkin ramai beranggapan tidak ada bezanya antara penulisan berita penyiaran dengan penulisan media cetak. Walaupun konsep pemberitaannya hampir sama, namun cara penulisan sebenarnya agak berbeza. Kenapa demikian? Jawapannya kerana medium kedua-duanya berbeza. Akhbar atau majalah untuk dibaca manakala radio atau TV untuk pendengar atau penonton. Justeru, sudah tentu gaya penulisannya berbeza kerana sasarannya berlainan. Jika akhbar menggunakan bahasa penulisan maka berita penyiaran menggunakan sepenuhnya bahasa percakapan. Dengan lain perkataan, penulisan akhbar untuk tatapan mata manakala berita penyiaran untuk pancaindera telinga.


Kajian mendapati, mata mempunyai kemampuan yang lebih berbanding telinga untuk menghantar maklumat terus ke otak. Telinga pula mudah keliru dengan sebutan sesuatu perkataan dan keupayaan “menangkap” sesuatu maksud agak terhad. Oleh itu, bahasa media penyiaran perlu mudah, ringkas dan padat.


Tidak seperti pembaca akhbar yang boleh mengulangi perkataan atau ayat yang tidak difahaminya, pendengar berita radio tidak mempunyai kemampuan demikian. Ini kerana berita radio dibaca sekali sahaja. Tiada ulangan. Tetapi, mungkin ada yang mengatakan, berita radio boleh dirakam dan pendengar boleh mengulang dengar. Soalnya, berapa ramaikah yang berbuat demikian. Yang ada mungkin hanya stesen pengesan siaran yang ingin mendapatkan kandungan maklumat sesuatu berita. Tetapi yang kita tahu jarang orang merakam berita.

Satu lagi ciri penting berita penyiaran ialah ia menggunakan bahasa percakapan. Perhatikan apabila kita berbual dengan rakan-rakan. Kita gunakan bahasa percakapan atau bualan. Apakah ciri-ciri bahasa percakapan? Kita gunakan bahasa harian dan mudah. Ayat yang kita gunakan pula adalah pendek-pendek dan senang difahami.
Kunci penulisan berita penyiaran ialah “Tulis seperti anda bercakap,” antara nasihat yang sering kita dengar daripada penulis terkenal bagi menghasilkan penulisan berita yang baik.

Bagaimanapun, perlu diingatkan walaupun kita digalakkan menggunakan bahasa percakapan tetapi ini tidak bermakna kita boleh sewenang-wenangnya mengabaikan soal nahu dan tata bahasa. Gunakan bahasa yang betul.


2. INTRO BERITA PENYIARAN

Lead atau intro atau pendahulu adalah elemen yang amat penting. Dalam penyiaran, intro beritanya memainkan peranan yang hampir sama dengan tajuk-tajuk berita dalam media cetak. Di sinilah letaknya daya penarik untuk memikat pendengar. Seperti seorang penjual, dia akan menonjolkan kelebihan produknya untuk memikat pembeli.

Seseorang penonton atau pendengar akan membuat keputusan untuk terus mengikuti siaran berita berasaskan kekuatan lead atau intro samalah seperti pembaca akhbar. Mereka melihat tajuk berita terlebih dahulu sebelum membaca cerita penuh. Bagaimanapun, bagi pembaca akhbar mereka akan beralih ke berita lain jika tidak berminat dengan tajuk yang dibaca. Ini sedikit berbeza dengan media siaran. Penonton TV misalnya mungkin akan menukarkan siarannya ke stesen TV lain atau menutup terus peti televisyennya. Demikian juga dengan radio. Justeru, pengarang berita penyiaran perlu mengutamakan perkara-perkara berikut semasa membuat intro:

·
Tarik perhatian pendengar/penonton dengan mengutamakan inti sesuatu berita.
· Jangan buat intro yang sukar difaham dengan memasukkan terlalu banyak fakta.
· Intro perlu terkini/semasa.


Intro berita penyiaran yang baik seharusnya tidak mengandungi terlalu banyak fakta seperti siapa, apa, kenapa, di mana, bila dan bagaimana. Paling banyak ia sepatutnya mengandungi satu atau dua fakta sahaja. Fakta selebihnya bolehlah dimasukkan di perenggan yang lain. Kenapa kita tidak seharusnya memasukkan terlalu banyak fakta? Sebabnya, kita menulis untuk pendengar. Terlalu banyak fakta menyukarkan pendengar untuk memahami maksud yang disampaikan. Jadi, intro berita penyiaran seharusnya padat dan mampu menarik perhatian pendengar.Satu lagi ciri penting yang perlu ada dalam intro berita penyiaran ialah ia seharusnya bersifat semasa atau terkini. Jadi, tidak seharusnya ada perkataan malam tadi atau semalam dalam intro. Malah, perkataan hari ini juga tidak sepatutnya digunakan kerana memang berita dilaporkan hari ini.


Ambil contoh ini:

Perdana Menteri malam tadi/hari ini mengingatkan rakyat agar bekerja kuat supaya dapat membantu ekonomi negara berkembang lebih pesat.
Intro berita penyiaran juga perlu mengutamakan ayat aktif bukan pasif. Ini kerana ayat aktif menjelaskan kejadian sedang berlaku berbanding ayat pasif yang menggambar kejadian sudah berlalu.

Perhatikan ayat ini:

Kereta merempuh pokok. (ayat aktif)
Pokok dirempuh oleh kereta. (ayat pasif)


Prinsip berita penyiaran ialah berita dilaporkan semasa kejadian berlaku. Jadi, intro berita mesti terkini, berlainan dengan akhbar yang terbit esok.



3.
KATEGORI INTRO BERITA PENYIARANAda beberapa bentuk intro berita penyiaran yang selalu digunakan oleh wartawan media elektronik di negara ini. Bentuk intro dipilih berdasarkan kesesuaian berita dan kreativiti wartawan itu sendiri. Di sini diperturunkan beberapa kategori intro yang lazimnya digunakan oleh stesen TV dan Radio.

1. Traditional leads. Intro Tradisional yang juga dikenali sebagai “hard-news leads” atau “main-point leads”. Contoh:
Ahli Parlimen Marang, Datuk Rahman Bakar mengumumkan, beliau tidak akan bertanding kerusi parlimen berkenaan pada pilihanraya akan datang.
Intro begini mengandungi fakta utama yang akan disusuli dengan penjelasan kenapa beliau membuat keputusan itu, rancangan beliau selanjutnya dan beberapa perkara lain.

Hard leads menjelaskan maklumat penting dan segera. Intro sebegini juga digunakan dalam “breaking news” atau “berita tebuk”.


Contoh:Sekurang-kurang 50 maut dalam kejadian tanah runtuh di Dungun, Terengganu.

2. Angle leads. Intro begini selalunya digunakan bagi menarik perhatian pembaca. Contohnya:

Adakah anda memiliki duit syiling 5 sen tahun 51. Jika ada, anda seorang yang bertuah. Seorang pengumpul duit syiling lama sanggup membelinya pada harga tinggi.

Atau
Untuk mencari nama manusia sanggup melakukan apa
saja walaupun tindakan mereka dilihat tidak masuk akal. Di
Washington, seorang lelaki berjalan dengan tapak tangan dengan
kedua-dua kaki ke atas sambil menuruni tangga selama 15 minit.


3. Umbrella lead atau shotgun lead. Intro ini selalunya mengandungi banyak berita kompleks dan menyeluruh.
Intro sebegini juga digunakan bagi menyambung dua atau lebih berita yang sama bentuk. Contoh:

Banjir di Pahang dan Terengganu makin pulih tetapi di Kelantan makin buruk dengan ramai lagi penduduk dipindahkan.


4. Throwaway leads. Bentuk intro ini banyak digunakan oleh wartawan media siaran. Walaupun, ia tidak memberikan banyak maklumat, tetapi ia cukup berkesan untuk menarik perhatian pembaca. Perhatikan contoh ini:

Berita baik untuk kakitangan awam.


Atau

Berita baik untuk petani dan nelayan.


Intro sebegini cukup berkesan untuk “mengikat” kakitangan awam terus mengikuti apakah berita seterusnya. Mereka ingin tahu apa berita gembira itu. Gaji naikkah? atau elaun ditambahkah? Demikian juga bagi petani dan nelayan. Mereka ingin tahu, apa yang bakal mereka dapat. Apakah kerajaan akan memberi baja percuma atau bantuan membaiki bot.

5. Soft leads. Ada sesetengah penyunting menggunakan intro ini bagi
membawa terus pemikiran pendengar kepada isi berita yang disiarkan. Intro sebegini memberi gambaran awal kepada pendengar tentang isi cerita yang akan dibawa. Pendekatan sebegini kadangkala sebagai “warming up” kepada pendengar/penonton. Contoh:
Gempa bumi di Aceh, Indonesia. Pasukan penyelamat menemui
berpuluh-puluh lagi mayat dalam operasi yang disambung
semula pagi ini.


Atau

Kemalangan komuter di Sentul, Kuala Lumpur. Sekurang-
kurangnya 30 penumpang dilaporkan cedera.

 
4. Pemilihan BeritaWalaupun pada prinsipnya pemilihan berita penyiaran dengan berita media cetak pada umumnya hampir sama tetapi sebenarnya ada sedikit perbezaan. Berita Penyiaran lebih menumpukan liputan peristiwa yang memberi kesan ke atas ramai orang, isu semasa, peristiwa tempatan dan konflik atau perkara luarbiasa. Oleh kerana sifat media dan ruangannya yang terbatas maka pengarang berita penyiaran memilih bahan-bahan yang kadangkala berbeza dengan yang disiarkan oleh media cetak.
Bagaimanapun, ada beberapa faktor yang diambil kira oleh editor berita penyiaran ketika membuat pemilihan berita.

· Terkini/Terbaru. Oleh kerana media siaran mampu menyalurkan maklumat dengan pantas berbanding akhbar maka pemilihan berita dibuat berdasarkan berita terbaru. Ini diutamakan dalam berita penyiaran kerana saingannya akhbar, terbit esok. Maka kelebihan ini harus dimanfaatkan sepenuhnya. Berita Radio juga kini disiarkan setiap jam. Ini bermakna setiap minit perkembangan yang baru berlaku perlu dilaporkan. Berita yang berlaku dua jam atau sejam yang lalu sudah dianggap basi bagi bagi media elektronik. Oleh kerana itu, pendengar yang membuka radio atau menonton berita TV mahukan berita terkini atau yang baru berlaku.

· Maklumat bukan penjelasan. Berita-berita yang dipilih untuk siaran media elektronik biasanya tidak memerlukan banyak penjelasan untuk pendengar atau penonton. Bahan berita yang dipilih biasanya mudah dan boleh disampaikan terus kepada penerima. Panjang maksimum sesuatu bahan berita untuk siaran televisyen biasanya dua minit manakala panjang normal sekitar 20 saat hingga 30 saat. Kadangkala agak sukar untuk seseorang pemberita untuk
menulis berita yang seringkas ini kerana banyak fakta yang
perlu dimasukkan. Namun begitu, mereka seharusnya belajar
menulis sepadat mungkin kerana banyak lagi bahan-bahan lain
yang hendak digunakan.

· Kesan audio atau visual. Berita Penyiaran mengutamakan
berita yang mempunyai kesan audio atau visual.

Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi lebih menarik
jika dapat mendengar suaranya sendiri (actualiti) berbanding
sekadar membaca kenyataannya sahaja. Demikian juga
bencana banjir, cerita akan lebih menarik jika penonton dapat
menyaksikan suasana banjir berbanding sekadar penceritaan
tanpa gambar. Wartawan media penyiaran lazimnya memilih bahan-
bahan yang mempunyai gambar dan audio. Namun begitu, jika ada
bahan penting yang tiada gambar, penyunting masih menggunakannya
dengan memasukkan grafik dan sebagainya.


5. KRITERIA PENULISAN BERITA PENYIARANUPI Broadcast Stylebook menyatakan jika kewartawanan media cetak mempunyai 5 W 1 H (What, Why, Who, When, Where and How) media penyiaran pula mengandungi 4 C ( Correctness, Clarity, Conciseness and Color). Empat elemen C ini merupakan asas penulisan berita penyiaran dan satu bentuk rangkakerja yang baik apabila memperkatakan tentang gaya penulisan berita penyiaran.
Asas utama berita penyiaran ialah ketepatan atau sahih. Semua berita yang ditulis mesti tepat dan ini tiada kompromi. Jika fakta tidak tepat ia bakal mengundang masalah kepada pemberita dan menjejaskan kredibiliti pemilik organisasi berita terbabit.
Ciri kedua ialah jelas. Ini bermaksud mudah difahami pendengar dan tidak mengelirukan. Kenapa ciri ini perlu? Sebabnya, pendengar hanya dengar sekali lalu sahaja dan penyampai tidak akan mengulang ayat yang dibaca. Jadi, bahasa mudah dan senang digunakan.
Ketiga, penggunaan ayat yang pendek, mudah, ringkas dan terus kepada persoalan. Ini juga ciri penting berita penyiaran. Berbeza dengan media cetak yang menggunakan ayat yang panjang dan kompleks media penyiaran mengutamakan ayat yang senang difahami.
Ciri keempat ialah warna. Ia merujuk penulisan yang membolehkan pendengar mendapat gambaran tentang cerita atau peristiwa yang dilaporkan.

6. TANGGUNGJAWAB WARTAWAN MEDIA PENYIARANSeperti wartawan akhbar, wartawan penyiaran juga mempunyai tanggungjawab dan etika semasa menjalankan tugas. Mereka mesti peka dan faham mengenai undang-undang yang melibatkan bidang tugas yang dijalankan. Mereka perlu cermat menangani isu-isu sensitif dan pandai pula mengendalikan sesuatu topik. Bahasa yang digunakan oleh wartawan penyiaran mesti didengar bertanggungjawab dan profesional serta memenuhi kehendak pendengar dan penonton. Bahasa yang digunakan juga perlu objektif dan neutral. Wartawan penyiaran juga menggunakan bahasa ucapan atau percakapan.
Bahasa yang digunakan penting daripada segi penggunaan dan maksudnya kerana wartawan penyiaran bertanggungjawab:

·
Kepada pendengar dan penonton
· Kepada undang-undang
· Kepada pengurusan sesebuah stesen dan
· Kepada etika dan nilai-nilai tugas.


Wartawan penyiaran perlu objektif dalam melaporkan fakta. Ini adalah tanggungjawab tertinggi berbanding media cetak. Laporan yang dibuat seharusnya tidak memihak, adil dan jujur. Ini kerana tujuan penyiaran berita dalam sesebuah negara demokrasi ialah bagi memberi hak kepada orang ramai mengetahui apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Bagaimana penilaian kita tentang sesuatu berita? Setiap orang mempunyai penilaian yang berlainan. Demikian juga dengan pendengar atau penonton. Berita yang baik bagi sesetengah orang mungkin tidak baik bagi sesetengah yang lain. Mereka mempunyai kesimpulan masing-masing. Fakta bagi sesetengah orang adalah pembohongan bagi segolongan yang lain.
Justeru, penilaian tentang berita perlu berasaskan kepada keadilan, objektif dan dilaporkan dengan jujur.
Dalam menjalankan tugas, wartawan penyiaran menghadapi beberapa rintangan. Antaranya:

· Pengiklanan (majikan atau syarikat wartawan terbabit mungkin cuba menghalang penerbitan berita yang boleh merugikan pendapatan iklan mereka)
· Peribadi ( tekanan agar jangan melaporkan berita atas desakan rakan atau pembabitan keluarga).
· Moral (peribadi, pegangan moral atau kepercayaan agama mungkin mendorong seseorang wartawan mengolah sesuatu berita yang bersifat memihak).
· Kerajaan/Politik (tekanan daripada pegawai kerajaan agar jangan guna berita yang boleh menjejaskan nama baik kerajaan atau parti politik).


7. CIRI-CIRI RADIO


Radio adalah medium yang tidak kelihatan; ia juga dikenali sebagai medium peribadi. Radio memerlukan imaginasi. Ia ada ciri tersendiri kerana melibatkan imaginasi yang berbeza dengan TV dan memiliki “gambarnya sendiri”. Dalam kesusasteraan, semuanya dibayangkan. Di TV, cerita boleh ditonton dan didengar dan kurang memerlukan imaginasi. Tetapi di Radio, cerita hanya boleh didengar. Radio adalah mengenai apa yang berlaku; ia adalah medium sekarang. Semua orang mendengar radio untuk mengetahui berita-berita kecemasan. Radio adalah mengenai kata-kata dan bunyi. Oleh kerana medium ini tidak kelihatan, kata-katanya tidak boleh dilihat oleh pendengar. Bahasa radio hampir sama dengan ucapan berbanding tulisan.

Nordin Sulaiman,
Ketua Penolong Pengarah,
Seksyen Berita Radio,
Jabatan Penyiaran Malaysia,
Angkasapuri, Kuala Lumpur.






2 comments:

syahrulnizam said...

Artikel yang menarik!

http://www.syahrulnizam.com

Abang Putra said...

syahrulnizam, terima kasih. Saya harap anda dapat memanfaatkan artikel ini untuk tujuan pembelajaran.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails