TERIMA KASIH KERANA MELAYARI BLOG AWANG GONENG. BLOG INI MENGANDUNGI PAPARAN AKTIVITI SAYA SEBAGAI PENJAWAT AWAM SEMASA BERTUGAS DI PELBAGAI NEGERI DI SEMENANJUNG MALAYSIA. MUNGKIN ADA KISAH-KISAH YANG SAYA PAPARKAN DI SINI BERGUNA UNTUK RUJUKAN TUAN PUAN. SELAMAT MEMBACA, MENONTON GAMBAR DAN KLIP VIDEO YANG ADA DAN TINGGALKAN KOMEN DIRUANGAN YANG DISEDIAKAN. TERIMA KASIH.

Wednesday, April 25, 2012

Piala FA 2012: Mampukah Terengganu ke akhir?




Sebagai rakyat negeri Terengganu, saya mengikuti penuh minat perkembangan bolasepak melibatkan pasukan Terengganu dan T-Team. Pada saya, Terengganu boleh berbangga kerana dua wakilnya bolehlah dianggap antara pasukan handal dalam Liga Super. Terengganu adalah penyandang juara Piala FA 2011 dan Naib Juara Piala Malaysia 2011 manakala T-Team, pasukan berstatus kelab sudah beberapa kali layak ke separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia. Namun sejak akhir-akhir ini, prestasi skuad penyu dipersoalkan khususnya oleh para penyokong tempatan sejak kalah teruk 1-6 dengan Selangor. Apa sudah jadi dengan skuad kendalian Mat Zan Mat Aris ini?

Yang terbaru, mereka tewas kepada Sime Darby 1-2 pada perlawanan separuh akhir pertama di Kuala Terengganu. Kemuncaknya, segelintir penyokong tempatan "mengamuk" dan meminta Pengurus Pasukan, Datuk Che Mat Jusoh dan Mat Zan meletak jawatan. Soalnya, adakah wajar tindakan penyokong tersebut. Jawapannya sudah tentu tidak. Saya sendiri secara peribadi mahukan kemenangan. Tetapi kita mesti ingat, tidak semua pasukan yang kuat akan menang. Lihat saja Brazil dan Man. United. Pasukan ini juga sering tewas dan kadangkala dengan jaringan yang besar. Pada saya, adalah tidak adil kemerosotan prestasi pasukan skuad penyu diletakkan di bahu pengurus dan jurulatih semata-mata. Setiap pasukan ada turun naiknya. Begitu juga Terengganu. Tambah lagi, pasukan ini terlibat dalam Piala AFC dan sudah tentu tidak mempunyai masa rehat yang cukup untuk pertandingan dalam Liga Malaysia. Ramai juga tonggak utama pasukan ini mengalami kecederaan dan ini sudah tentu menjejaskan formasi pasukan. Apapun, tindakan MB Terengganu yang mengadakan pertemuan dengan pengurusan bolasepak negeri harus dipuji. Sudah tentu, kelemahan dan kekurangan jika ada akan segera diperbaiki bagi meletakkan prestasi pasukan di landasan asal. Ingat, kita masih ada 90 minit lagi. Dalam bolasepak apa-apa pun boleh terjadi. Jika Terengganu bermain baik dalam pusingan kedua nanti, tidak mustahil pasukan itu sekali lagi akan melangkah ke akhir. Yang penting, Mat Zan perlu merangka strategi ampuh bagi mempertajamkan serangan yang dilihat longlai dan memperkemaskan barisan pertahanan.



No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails