TERIMA KASIH KERANA MELAYARI BLOG AWANG GONENG. BLOG INI MENGANDUNGI PAPARAN AKTIVITI SAYA SEBAGAI PENJAWAT AWAM SEMASA BERTUGAS DI PELBAGAI NEGERI DI SEMENANJUNG MALAYSIA. MUNGKIN ADA KISAH-KISAH YANG SAYA PAPARKAN DI SINI BERGUNA UNTUK RUJUKAN TUAN PUAN. SELAMAT MEMBACA, MENONTON GAMBAR DAN KLIP VIDEO YANG ADA DAN TINGGALKAN KOMEN DIRUANGAN YANG DISEDIAKAN. TERIMA KASIH.
Showing posts with label Agama. Show all posts
Showing posts with label Agama. Show all posts

Monday, August 27, 2007

Senggol Sikit!

[Ramai cerdik pandai terpedaya dengan Ayah Pin yang tidak pernah belajar agama; gambar dirakamkan selepas penulis menemubual Ayah Pin beberapa minggu sebelum markasnya di Besut dirobohkan]

Saya kadangkala berasa pelik dengan sikap segelintir umat Islam kita pada zaman ini. Mereka begitu mudah terpengaruh dengan dakwaan orang-orang tertentu yang menyamar sebagai 'orang alim' yang mendakwa memiliki kelebihan tertentu.

Tidak lama dulu kita heboh dengan kisah pemimpin ajaran dari langit Ayah Pin dan ajaran sesat Cikgu Kahar. Walaupun ajaran mereka tidak masuk akal tetapi ramai cerdik pandai yang terpedaya.

Kini muncul pula seorang pemimpin yang melelong agama untuk kepentingan diri. Dia dikatakan seorang ‘warga seberang’ yang menggelarkan dirinya al- Banjari dan mendakwa, sesiapa yang berjabat tangan dengannya, seakan berjabat tangan dengan Rasulullah. Oleh itu, sesiapa berjabat tangan dengannya juga akan masuk syurga. Pulak dah. Begitu mudah sekali untuk masuk syurga. Jadi, kalau dah bersalam dengan al-Banjari maknanya sahlah masuk syurga walaupun tak bersolat, puasa dan melakukan dosa-dosa lain. Begitu?

Yang peliknya, ramai orang-orang kita berebut-rebut bersalaman dengan al-Banjari ni dan kebanyakannya kaki masjid dan surau yang dianggap alim dan tahu hal-hal agama. Pendedahan mengenai perkara ini dibuat oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam ruangan Bicara Agama Mingguan Malaysia, bertarikh 25 Ogos 2007.

Orang kita juga mudah percaya dengan barakah benda-benda tertentu. Kesempatan ini digunakan oleh warga asing untuk menipu orang kita dengan mendakwa kayu kokka mempunyai keistimewaan tertentu jika disimpan. Mereka mendakwa kononnya tongkat Nabi Musa dibuat daripadanya. Demikian juga bahtera Nabi Nuh. Maka dibohongilah orang ramai kononnya kayu itu jika disimpan membawa rezeki, atau menolak bala dan berbagai-bagai kesaktian yang lain. Maka harga kayu tersebut yang nilainya tidaklah seberapa, bertukar menjadi ratusan bahkan ribuan ringgit di negara kita.


Kita akan menyambut kemerdekaan negara yang ke 50. Sayangnya, cara berfikir kita masih belum merdeka!

Friday, August 03, 2007

Cuit Sikit


Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal salih dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. (Surah Al-"Asr)

HARI ini hari Jumaat, penghulu segala hari. Hari Jumaat banyak kelebihannya. Dalam Islam, kita digalakkan memperbanyakkan salawat ke atas Nabi Muhamad, S.A.W. Dan tidak akan berlaku kiamat melainkan pada hari Jumaat.

Sempena hari Jumaat yang mulia ini, saya ingin mengajak diri saya dan saudara merenung kembali mengenai perilaku orang kita khususnya semasa hendak menunaikan solat Jumaat. Saya memerhati perkara ini sudah lama, baik di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak. Sikap orang kita sama saja. Tak berubah.

Semasa memasuki masjid, segelintir orang kita, bukan semua, biasanya sudah siap 'menempah' ruang di bahagian belakang atau di sebalik tiang atau di bawah kipas. Jarang benar, saya lihat mereka berebut-rebut untuk duduk di saf depan sedangkan disaf depan itulah lebih banyak ganjaran pahalanya. Lebih teruk lagi, apabila azan dilaungkan, berat benar mereka nak berganjak mengisi ruang-ruang kosong di bahagian depan. Aku tengok engkau. Engkau tengok aku. Masing-masing 'bersopan santun' mempersilakan antara satu sama lain supaya mengisi ruang kosong di bahagian depan. Dan kerana sikap sebeginilah, ada saf yang terputus kerana ada makmum yang enggan berganjak ke depan kerana mungkin sayangkan kipas di atas kepalanya.

Sebelum solat, imam sudah 'berbuih mulut' mengingatkan makmum agar sentiasa merapatkan saf tetapi berapa kerat makmum yang mengikutnya. Mereka lebih suka mengamalkan zon selesa. Perkara begini tidak berlaku kepada masyarakat Mesir. Saya berpeluang solat Jumaat di salah sebuah masjid di Kaherah semasa membuat liputan berita suatu masa dulu. Makmumnya sentiasa mencelah dan mengisi ruang kosong sehinggakan kita merasakan seakan-akan tersepit. Mulanya saya pelik jugak, tetapi apabila mengetahui kesempurnaan solat apabila saf dirapatkan, barulah saya faham.

Jadi, sempena hari Jumaat ini sama-samalah kita saling ingat mengingati dalam perkara-perkara kebaikan. Mudah-mudahan kita diberi keberkatan oleh Allah.

Monday, July 09, 2007

Husnul Khatimah

[ ketika sujud manusia paling hampir dengan Allah]

Setiap makhluk yang hidup pasti merasai mati. Sama ada kita bersedia atau tidak, tua atau muda, sakit atau sihat, mati pasti menemui kita. Maknanya, jangan sangka jika kita sihat dan tiada penyakit, kita tidak akan mati atau lambat lagi mati.

"Setiap jiwa pasti akan menempuh kematian." (Ali Imran: 185)

Mati boleh berlaku dalam keadaan apa cara sekalipun. Kenapa saya berkata begini. Sebabnya "orang kita" termasuk saya kadangkala lupa tentang hakikat kematian. Sebab itu media kita sering menggunakan istilah "mati mengejut". Pelik betul istilah ini. Saya kata guna mati cukuplah. Kenapa mesti ada mengejut. Kata mereka kerana "tak ada tanda-tanda sakit, aleh-aleh meninggal,". Jadi hujah saya mati mesti ada tanda-tanda dulu ke?


Sebagai orang Islam marilah kita sama-sama berdoa agar kita meninggal dalam keadaan Husnul Khatimah iaitu kesudahan hidup yang baik dan bukan sebaliknya, Su'ul Khatimah. Dalam masa yang sama, kita juga perlu memperbanyakkan amal kebajikan dan meninggalkan apa yang ditegah agama.
Mudah-mudahan doa kita diperkenankan Allah.

Alangkah beruntungnya mereka yang meninggal dalam keadaan Husnul Khatimah seperti seorang lelaki yang meninggal dunia dalam keadaan sujud di Masjid Nabawi. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan saya Junaidi Zakariya kerana mengirimkan gambar itu.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails