TERIMA KASIH KERANA MELAYARI BLOG AWANG GONENG. BLOG INI MENGANDUNGI PAPARAN AKTIVITI SAYA SEBAGAI PENJAWAT AWAM SEMASA BERTUGAS DI PELBAGAI NEGERI DI SEMENANJUNG MALAYSIA. MUNGKIN ADA KISAH-KISAH YANG SAYA PAPARKAN DI SINI BERGUNA UNTUK RUJUKAN TUAN PUAN. SELAMAT MEMBACA, MENONTON GAMBAR DAN KLIP VIDEO YANG ADA DAN TINGGALKAN KOMEN DIRUANGAN YANG DISEDIAKAN. TERIMA KASIH.

Wednesday, January 29, 2014

Pahala Sebutir Kurma



1.  Saya teringat satu kisah yang saya baca dalam sebuah buku agama tentang besarnya ganjaran pahala apabila kita bersedekah.  Bersedekahlah walaupun hanya sebutir kurma, pesan Nabi kita Muhammad S.A.W.  Maknanya, jika kita ingin berbuat kebaikan, tidak semestinya kita menunggu menjadi kaya.  Kita masih boleh bersedekah, walaupun nilainya kecil.  Mungkin kita hanya meletakkan seringgit dua sahaja dalam tabung masjid setiap Jumaat.  Tidak mengapalah, asalkan ia berterusan.  InsyaAllah, keikhlasan kita akan mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah.

2.  Selagi kita masih bernafas marilah kita merebut peluang berbuat kebaikan sebanyak mungkin. Katakanlah kita berada di pasar minggu untuk membeli makanan. Apa salahnya, kita membeli sedikit makanan untuk jiran kita atau untuk pengawal keselamatan yang bertugas menjaga keselamatan di kawasan perumahan kita.  Saya fikir kita tidak akan jatuh miskin dengan memberikan mereka sedikit makanan.  Malah saya yakin rezeki kita akan makin bertambah dan berkat.

3.  Banyak lagi bentuk bentuk kebaikan yang boleh kita lakukan. Sebarkan salam adalah amalan yang amat dituntut.  Namun jangan beri salam kepada orang yang kita kenali sahaja.  Beri juga salam kepada orang yang tidak kita kenal dengan senyuman yang manis.

4.  Zikir boleh mendekatkan diri kita kepada Allah.  Berzikir tidak semestinya di tikar sembahyang sahaja.  Zikir boleh dilakukan di mana sahaja. Sambil memandu dalam kesesakan jalanraya misalnya berzikirlah. Ucapkan Astarfirrullah...Subhanallah...Alhamdulillah.  Sekurang-kurangnya kita dapat manfaatkan masa yang ada.

5.  Renung dan fikirkan banyak sungguh nikmat Allah kepada kita tetapi sedikit sungguh ibadat kita kepadaNYA.  Semua nikmat Allah di dunia ini diberinya percuma. Bayangkan jika Allah kenakan bayaran.  Udara yang kita sedut. Hasil laut yang kita kaut. Balak yang kita tarah. Pasir yang kita korek. Minyak yang kita sedut. Agak agak mampukah kita bayar?

6.  Ya Allah. Ampunkan kami. Sungguh banyak dosa dan kekurangan kami berbanding dengan nikmat yang Engkau kurniakan.  Berikan kami kekuatan dan petunjukMU agar dapat kami dapat harungi kehidupan dunia yang penuh dengan tipu daya ini.  Tunjukkan kami jalan yang lurus. Jalan para nabi dan rasulMu. Bukan jalan mereka yang sesat.  

1 comment:

Anonymous said...

Benar bagai dikata. Jika kita ingin lakukan kebaikan ada pelbagai cara. Tepuk dada, Tanya selera. Selagi nyawa dikandung badan, rebutlah peluang yang ada. Kelak menyesal tidak terkira.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails