SELAMAT DATANG KE BLOG SUARA PERINDU; IKUTI TOKOH ISLAM MINGGU INI MENGENAI KISAH BEBERAPA SAHABAT NABI S.A.W YANG MENARIK KISAHNYA UNTUK DITELADANI, DIPAPARKAN DALAM BENTUK DOKUMENTARI RADIO YANG MENARIK. SETIAP SABTU 6.15 PTG DAN ULANGANNYA PADA AHAD 2.15 PTG DI TERENGGANUFM; PENULIS SKRIP DOKUMENTARI AGAMA DIPERLUKAN. HANTAR SEGERA PERMOHONAN KPD PENGARAH RTM TERENGGANU; IKUTI PERKEMBANGAN SUKAN TEMPATAN DAN TANAH AIR DALAM "WISEL" SETIAP SELASA PUKUL 9.15 BERSAMA DJ AZRUL DAN RIZAL, MENGUPAS PERKEMBANGAN BOLASEPAK, HOKI, LUMBA BASIKAL DAN BANYAK LAGI

Friday, January 10, 2014

Penulisan Berita Radio

Hari ini saya hendak bercakap mengenai penulisan Berita Radio.  Ramai pemberita khususnya yang masih berkhidmat di RTM bertanya saya bagaimana sebenarnya bentuk penulisan berita radio.  Ada yang bertanya tu sudah berkhidmat puluhan tahun tetapi masih tidak jelas apakah yang mereka tulis sebelum ini sesuai untuk siaran berita radio. 

Apa yang mereka amalkan sebelum ini ialah menulisnya dalam ayat yang pendek-pendek. Itu saja. Baiklah, saya akan memberi  sedikit petua bagaimana anda boleh menghasilkan satu buletin berita radio yang menarik.  Saya mendapati ramai wartawan atau pemberita media siaran--radio dan TV--sering terikut-ikut dengan cara penulisan media cetak seperti surat khabar. 

Untuk menghasilkan berita radio yang baik, mereka mesti membuang cara penulisan surat akhbar.  Perkara ini berlaku kerana kebanyakan penyunting berita media siaran menggunakan bahan berita daripada wire copy, misalnya daripada agensi berita Bernama. Penulisan Bernama adalah untuk media cetak dan tidak sesuai untuk radio.  Kenapa demikian? 

Jawapannya ialah kerana siaran radio untuk didengar manakala akhbar untuk dibaca. Fungsi telinga dan mata itu berbeza.  Telinga mudah keliru dengan sesuatu perkataan yang disebut dan keupayaannya untuk 'menangkap' sesuatu perkataan itu kurang berbanding mata.  Jadi, kunci pertama untuk menghasilkan penulisan berita radio yang baik ialah mudah. 

Gunakan perkataan yang mudah dan yang biasa kita sebut dalam perbualan. Ini kerana berita radio menggunakan bahasa cakap sementara akhbar menggunakan bahasa persuratan.  Perhatikan bila kita bercakap.  Kita menggunakan bahasa yang mudah dan pendek-pendek.  Inilah yang perlu kita lakukan dalam penulisan berita radio. 

Jika kita tulis berita ikut surat khabar, sukar pendengar hendak faham kerana akhbar menggunakan ayat yang panjang.  Gunakan perkataan "kalah" untuk merujuk sesuatu perlawanan bolasepak, bukan tewas.  Sebab apabila kita bercakap kita sebut contohnya Malaysia kalah malam tadi. Begitu juga jangan guna bahasa surat seperti hamil, lolos, teruja, pusingan U, hypertensi, diabetes dan sebagainya.  

Adakah kita beritahu kawan kita, isteriku hamil lagi.  Tentu sekali tidak. Kita kata isteriku mengandung lagi.  Gunakan bahasa mudah  contohnya, darah tinggi seperti yang sering kita gunakan seharian. Ingat, pendengar berita radio terdiri daripada pelbagai lapisan pendidikan. Bukan semua mereka ni pendidikan tinggi.  

Jangan sampai mereka menjerit, "apa tu, aku tak fahamlah," bila dengar siaran berita yang menyebut perkataan "anjakan paradigma."  Kalau penyunting itu sendiri tidak faham tentang apa yang mereka tulis, bagaimana mereka hendak  pendengar  faham.  

Seterusnya, gunakan ayat ayat yang pendek dan jelas maksudnya.  Ayat yang pendek memudahkan pendengar memahaminya dan senang bagi pembaca berita menyampaikannya. Jangan sampai pembaca berita semput kerana ayat yang kita gunakan panjang berjela-jela.   

Jadi, ini antara petua yang saya boleh berikan. Untuk pembacaan lanjut anda boleh rujuk post saya terdahulu yang bertajuk Kewartawanan Media Siaran.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails