TERIMA KASIH KERANA MELAYARI BLOG AWANG GONENG. BLOG INI MENGANDUNGI PAPARAN AKTIVITI SAYA SEBAGAI PENJAWAT AWAM SEMASA BERTUGAS DI PELBAGAI NEGERI DI SEMENANJUNG MALAYSIA. MUNGKIN ADA KISAH-KISAH YANG SAYA PAPARKAN DI SINI BERGUNA UNTUK RUJUKAN TUAN PUAN. SELAMAT MEMBACA, MENONTON GAMBAR DAN KLIP VIDEO YANG ADA DAN TINGGALKAN KOMEN DIRUANGAN YANG DISEDIAKAN. TERIMA KASIH.

Wednesday, February 09, 2011

Harta, Amanah dan Kuasa Rakyat.



Oleh: Abah Din

Ada orang--baik pemimpin atau orang biasa-- dikurniakan harta melimpah ruah. Ada yang mendapatkannya dengan cara halal dan ada juga yang mendapatkannya dengan cara yang menyalahi peraturan dan agama. Ada yang bersyukur dengan limpahan harta yang dimiliki. Dan ada juga yang lupa dan tamak menimbunkan harta mereka. Yang bersyukur membelanjakannya dengan membantu orang yang memerlukan. Bill Gates orang kaya tetapi banyak membantu menderma untuk orang susah. Ini sikap terpuji. Malah beliau dilaporkan menyeru orang-orang kaya agar banyak beramal dengan menderma untuk orang yang memerlukan. Ini satu lagi sikap terpuji.

Ada orang menganggap kekayaan adalah milik mereka kerana menganggap usaha merekalah menyebabkan dia menjadi kaya. Benarkah? Siapakah yang memberikan kebolehan dan jalan untuk mereka sehingga menjadi kaya. Siapakah yang memberikan idea dan fikiran kepada mereka.? Mereka sebenarnya silap. Semua harta didunia ini sebenarnya milik Allah--Pencipta Langit dan Bumi. Kita hanya diamanah untuk menguruskannya sebaik mungkin. Dan kita semua akan disoal di "hari yang tiada guna harta dan anak pinak, melainkan mereka yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera."

Ingatlah apa yang kita miliki pada hari ini hanya sementara sahaja. Harta yang menimbun, isteri yang cantik, kereta yang mewah, pangkat yang besar, anak-anak yang ramai--semuanya hanya pinjaman sahaja. Semuanya boleh diambil oleh Allah dalam sekelip mata sahaja.

Kita lihat di Mesir. Rakyatnya bangun menuntut Mubarak meletak jawatan. Mubarak dikatakan mengumpul kekayaan AS$70 billion sedangkan hampir separuh daripada penduduknya hanya berpendapatan AS$2 sehari. Sungguh menyedihkan. Apakah yang Mubarak buat dengan kekayaan yang sebegitu banyak. Apakah dia makan 100 keping roti sehari? Tidak juga. Habis tu buat apa dia dengan kekayaan yang begitu banyak. Jawabnya: kerana nafsu dan dia lupa atau buat-buat lupa bahawa harta itu amanah Allah.

Kalau dia sedar perkara ini maka sudah tentu dia akan membelanjakan hartanya untuk faedah ramai rakyatnya yang miskin itu. Dengan harta sebanyak AS$70 billion itu sudah tentu banyak benda yang boleh dibuat oleh Mubarak untuk rakyatnya-mewujudkan peluang pekerjaan, membina kemudahan asas dan sebagainya.

Jadi, kita kena belajar apa yang berlaku di Mesir akibat kebangkitan rakyat. Tunisia sudah tumbang dan beberapa negara Arab lagi bakal mengikut kebangkitan di Mesir. Pemimpin--baik daripada parti pemerintah atau pembangkang atau Bebas--perlulah mengutamakan rakyat dalam segala hal. Ini kerana undi rakyatlah yang menyebabkan mereka dilantik menjadi orang besar. Jika bukan kerana rakyat adakah mereka akan duduk dikerusi empuk hari ini? Fikirkanlah.

Pemimpin pemerintah dan pembangkang juga perlu mencontohi perjuangan Rasulullah dan para sahabat yang berkorban harta dan jiwa mereka untuk rakyat. Pemimpin yang kaya pada zaman itu tidak meninggalkan harta kerana semua dihabiskan untuk rakyat dan negara. Inilah yang perlu kita contohi.





2 comments:

tips kuruskan badan said...

Semoga semua pemimpin Muslim sedar. Dan.. Saya harap, para pemimpin Muslim membaca artikel ini. Insya Allah.

pospey said...

Pemimpin harus melihat kekayaan itu bersama rakyatnya .

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails